Peserta menunjukkan hasil kutipan pepahat pada Pesta Kelaut Pantai Kelanang 2023 anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada 17 Jun 2023. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Pesta Kelaut Pantai Kelanang meriah, 200 peserta ambil bahagian

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 19 JUN: Pesta Kelaut Pantai Kelanang 2023 anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada 17 Jun lalu berlangsung meriah dengan penglibatan 200 peserta.

Pegawai Pelancongan MPKL Raja Nurfarhanim Raja Hassanuddin berkata pesta yang berlangsung di Pantai Kelanang dekat Banting itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM5,000.

Menurut beliau pertandingan mencari pepahat merupakan acara utama dalam pesta berkenaan mendapat penyertaan kira-kira 135 peserta.

“Aktiviti mencari pepahat ini dipilih memandangkan Pantai Kelanang sememangnya terkenal dengan aktiviti itu ketika air laut mulai surut akibat fenomena air laut pasang besar.

“Dalam masa dua jam sahaja, ada kumpulan yang berjaya mengutip sebanyak 25 kilogram pepahat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pesta itu, Raja Nurfarhanim berkata, acara yang julung kali diadakan itu dapat mempromosi Pantai Kelanang sebagai destinasi keluarga bersantai di hujung minggu.

“Pesta ini bertujuan untuk memfokuskan pelancongan berasaskan komuniti yang mendekatkan serta melibatkan masyarakat dengan pelbagai kegiatan pelancongan, seni dan budaya.

“Melihat sambutan yang amat menggalakkan, insya-Allah, kita akan pertimbangkan untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan,” katanya.

Selain mencari pepahat, pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan iaitu pertandingan mencari sukan rakyat dan swafoto kreatif.

Selain itu ada juga reruai pameran daripada pelbagai agensi seperti Tourism Selangor, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan Institut Kraf Negara lain.


Pengarang :