Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika sidang media khas sempena lima tahun pentadbirannya di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bercanggah istiadat, tidak wajar dahului Sultan umum bubar Dewan Negeri

SHAH ALAM, 19 JUN: Mana-mana pihak tidak wajar mendahului Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tindakan tersebut bertentangan adat istiadat, konvensyen (persetujuan secara kolektif) dan adab Melayu bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ini adalah adat istiadat yang lazim dijalankan Istana Selangor dan sangat diberikan perhatian oleh Baginda. Justeru, tidak wajar mana-mana pihak mendahului Sultan Selangor.

“Mengumumkan tarikh pembubaran DNS (mendahului Tuanku) saya kira bertentangan adat istiadat, lebih-lebih lagi adab masyarakat Melayu dengan Tuanku,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pagi tadi, Sultan Selangor berkenan membubarkan DNS pada 23 Jun untuk membenarkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan selepas menerima menghadap Dato’ Menteri Besar pagi tadi,

Baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran selaras peruntukan dalam Fasal (2) Perkara LXX, Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Dalam pada itu, Amirudin turut menjunjung titah Baginda supaya calon yang akan bertanding dalam PRN tidak memainkan isu agama dan perkauman yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali “mengisytiharkan” 19 Jun sebagai tarikh pembubaran DNS dalam ceramahnya di Tanjong Karang.

Tindakan bekas menteri besar Selangor itu mengundang reaksi ramai pihak terutama pimpinan Kerajaan Selangor, yang menganggap perbuatan berkenaan kurang sopan kerana mendahului Sultan Selangor.


Pengarang :