PBTSELANGOR

MPAJ: 15 peniaga gerai, pasar dipindah ke lokasi lebih selesa

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SHAH ALAM, 19 JUN: Seramai 15 peniaga gerai dan pasar basah Kampung Dato Mufti Shuib akan dipindahkan ke tiga lokasi lain yang disediakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bermula 1 September ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan lokasi baharu yang menyediakan kemudahan selesa kepada peniaga dan pelanggan itu ialah di Medan Selera Pandan Indah, Medan Selera Angsana Hilir serta Pasar Basah Tasik Tambahan.

“Bagi tujuan pemindahan ini, beberapa siri perbincangan di tapak serta mesyuarat penyelarasan dengan peniaga telah dibuat. Malah tiga notis juga telah dikeluarkan kepada semua peniaga gerai dan pasar basah terlibat. Notis terakhir telah dikeluarkan pada Mei 2023.

“Selepas ditangguhkan sebanyak dua kali sejak Mac 2023 dan Jun 2023, rayuan peniaga untuk penangguhan kali ketiga iaitu sehingga 1 Januari 2024 tidak dapat dipertimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Tambah MPAJ pemindahan peniaga telah bermula sejak tahun 2017 iaitu semasa projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dilaksanakan memandangkan lokasi tersebut menyebabkan kesesakan jalan dan mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Katanya, pemindahan peniaga ke tapak baru dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pemindahan tapak pasar pagi yang berada di atas rizab jalan ke tapak baru di sebelah Padang Taman Kosas.

“Semua 60 peniaga pasar pagi tersebut telah berpindah berkuatkuasa Oktober 2022. Selepas pemindahan tersebut, pihak Majlis akan mengembalikan fungsi tanah kawasan lapang tersebut sebagaimana asal.

“Pihak Majlis juga telah menyediakan peruntukan bagi menaiktaraf kawasan lapang tersebut untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya.


Pengarang :