ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Seri Setia di Tapak Pasar Tani Kelana Jaya pada 19 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN tekad teruskan pemutihan PPR Lembah Subang, selesaikan isu infrastruktur

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 20 JUN: Kerja pemutihan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang akan dilakukan berterusan termasuk selepas pilihan raya negeri (PRN).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata ia berikutan kawasan perumahan itu ‘diceroboh’ dan didiami warga asing selain mereka yang bukan dalam kategori berpendapatan rendah (B40).

“Hasil pertemuan dan beberapa kali perbincangan bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) beberapa bulan lalu, Alhamdulillah kami menerima reaksi positif membendung permasalahan yang berlaku di Lembah Subang 1 dan 2.

“Timbalan Menteri KPKT Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan datang ke Lembah Subang Jumaat ini dan harapan saya sebagai ADN banyak perkara dapat diselesaikan dengan kehadiran beliau untuk melihat sendiri situasi di kawasan itu,” kata Halimey Abu Bakar.

Beliau berkata jika berjaya mempertahankan kerusi DUN Seri Setia bagi penggal kedua, menjadi harapannya untuk terus membantu KPKT agar dapat menyelesaikan beberapa masalah di Lembah Subang 1 dan 2.

“Ini termasuklah menyelesaikan masalah seperti penempatan dan infrastruktur. Pelaksanaannya juga memerlukan kerjasama padu daripada beberapa pihak antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Terdahulu, Halimey sempat beramah mesra dan menyantuni pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang telah memberi manfaat lebih 5,000 keluarga DUN itu sepanjang penganjurannya.

 


Pengarang :