Para peserta sedang mendengar taklimat daripada salah seorang penceramah pada program Pencarian Da’ie anjuran Mais di Klang pada 19 Jun 2023. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

50 asnaf riqab dilatih jadi pembimbing, cegah dadah dalam komuniti

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 20 JUN: Seramai 50 individu menyertai program Pencarian Da’ie anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sejak 16 sehingga 19 Jun.

Agensi itu memaklumkan program bawah Pembimbing Rakan Komuniti bertujuan untuk melatih asnaf riqab yang bebas daripada dadah menjadi da’ie ataupun pembimbing dalam komuniti.

“Program ini juga bertujuan memberi ilmu berkomunikasi dengan lebih baik dan berkesan untuk berdakwah selaras dengan ajaran dan nilai-nilai Islam,” menurut Mais di Facebook.

Program berkenaan mendapat kerjasama daripada Persatuan Pengasih Selangor dan Rumah Teduhan Kasih, Rumah Penawar dan Rumah Sahabat.

Antara penceramah yang terlibat termasuklah Pengurus Pentadbiran Persatuan Pengasih Kuala Lumpur Mohamad Razman Rahmat, Timbalan Pengarah Pentadbiran Rumah Pengasih Gopeng Zulkama’ Azura Zulkarnain, Pengarah Teduhan Kasih Selangor Jaafar Daud serta penceramah bebas Abdul Hamid Yap Abdullah dan Faizal Abdul Rahman.


Pengarang :