Kanak-kanak membuat pelbagai aktiviti dalam program Mini Showcase dan Lepak Seni anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di pusat membeli-belah i-City pada 17 Jun 2023. Foto : MBSA
PBTSELANGOR

Lepak Seni di i-City meriah, buka peluang golongan kreatif berkarya

SHAH ALAM, 20 JUN: Program Mini Showcase dan Lepak Seni anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di pusat membeli-belah i-City di sini pada 17 Jun berlangsung meriah.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan program secara berkala bagi menyemarakkan kegiatan seni dan budaya membuka peluang kepada golongan kreatif berkarya.

“Program ini juga bertujuan menarik masyarakat untuk berkunjung ke Shah Alam sekali gus dapat merealisasikan matlamat menjadikan bandar raya ini sebagai sebagai Kota Seni di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kanak-kanak membuat aktiviti dalam program Mini Showcase dan Lepak Seni anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di pusat membeli-belah i-City pada 17 Jun 2023. Foto : MBSA

Pelbagai pengisian program diadakan antaranya termasuklah persembahan muzik tradisional India dan Cina, pertunjukan silap mata, aktiviti mewarna kanak-kanak, lukisan muka, kraftangan dan badut.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal Dato’ Nash yang mendendangkan lagu Pada Syurga Di Wajahmu dan Kombo MBSA.

Turut hadir memeriahkan majlis Timbalan Datuk Bandar Ir Cheremi Tarman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Shahrin Ahmad.

Pihak berkuasa tempatan itu turut membuka kaunter operasi Shah Alam On Wheels dengan menawarkan pengurangan kompaun perintah pengangkutan jalan sebanyak 30 peratus.


Pengarang :