Anggota penguatkuasa MPS menyita pelbagai barangan seperti tilam dan bantal pada operasi bersepadu di Desa Aman Puri, Selayang pada 14 Jun 2023. Foto Majlis Perbandaran Selayang
PBTSELANGOR

MPS tutup operasi dua hotel bajet tiada lesen, sita tilam dan perabot

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 20 JUN: Padah beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, dua hotel bajet di Desa Aman Puri, Kepong disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi bersepadu pada 14 Jun.

Bahagian Perhubungan Awamnya berkata hotel yang disyaki baru beroperasi itu turut melakukan perubahan struktur dalam bangunan tanpa kebenaran.

“MPS telah mengambil tindakan tegas dengan menyita barangan berupa tilam, bantal serta perabot selain menutup operasi hotel tersebut.

“Sebanyak empat kompaun dikeluarkan atas kesalahan berkaitan lesen perniagaan, ubah suai bangunan dan kacau ganggu bawah akta, enakmen dan undang-undang kecil yang berkaitan terhadap pemilik premis,” katanya menerusi kenyataan.

Pada operasi sama, sebuah pusat hiburan di Desa Aman Puri dan pusat refleksologi di Prima Gombak turut didapati melanggar syarat lesen perniagaan berdepan tindakan lesen ditarik sementara.

“Kita turut melaksanakan pemeriksaan lesen kritikal ke atas semua premis perniagaan di kawasan terlibat, amaran lisan telah dikeluarkan kepada beberapa pemilik perniagaan kerana menyebabkan kacau ganggu di kaki lima hadapan premis mereka,” kata pihak berkuasa tempatan itu.

Seramai tiga warga asing tanpa pengenalan diri yang sah ditahan dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Selayang bersama anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak di Desa Aman Puri, Selayang pada 14 Jun 2023. Foto Majlis Perbandaran Selayang

Dalam operasi berkenaan, sebanyak sembilan kompaun, notis (empat) , dan tindakan sita (tiga) telah dibuat serta tiga warga asing turut ditahan untuk siasatan lanjut berikutan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Operasi bersepadu yang diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS Ahmad Faisal Badiuzaman dibantu 28 anggota penguatkuasa dan 21 pegawai dari jabatan dalaman MPS serta 17 pegawai polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak.

Sehingga Jun, sebanyak enam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan dijalankan, selain operasi berkala dibuat pada setiap minggu.

MPS turut mengingatkan semua pemilik perniagaan dan masyarakat agar mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi mengelak tindakan tegas diambil.


Pengarang :