Orang ramai membeli barangan di gerai jualan yang dibuka penduduk bersebelahan Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Pandan Indah di Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS galak penduduk berniaga bersebelahan JER, peluang jana pendapatan

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

AMPANG JAYA, 20 JUN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempelawa penduduk untuk membuka gerai di lokasi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) untuk menjana pendapatan.

Penolong Pengurusnya Azri Md Yusof berkata mereka dibenarkan berniaga apa sahaja kecuali barangan asas namun perlu mendapatkan keizinan wakil penduduk terlebih dahulu.

Penolong Pengurus PKPS, Azri Md Yusof ketika ditemui Media Selangor pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Pandan Indah di Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Konsep kita dari awal lagi, penduduk boleh membuka gerai mereka sendiri, apa-apa barangan termasuk buah-buahan bersebelahan JER tetapi dengan syarat mendapat keizinan daripada wakil penduduk kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Pandan Utama di sini.

Pada program berkenaan, hanya seorang yang mengambil peluang berniaga dengan menjual makanan laut seperti sotong, udang dan ketam selain nanas pada harga murah berbanding pasaran.

Pegawai Khas kepada EXCO Pertanian Abdul Razak ketika ditemui pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Pandan Indah di Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pegawai Khas kepada EXCO Pertanian Abdul Razak berkata gerai tambahan bersebelahan jualan murah itu dibuka atas permintaan penduduk.

“Ia (buka gerai) berdasarkan keputusan mesyuarat bersama PKPS bersama pihak DUN yang memohon bagi penduduk di sini. Ia di buka secara berasingan dengan JER dan menjual selain barangan asas,” katanya.

Terdahulu, kesemua jualan murah barangan asas iaitu 400 ekor ayam, daging (300), telur (400) ikan (300), beras (300) dan minyak masak (300) habis terjual dalam tempoh kurang daripada dua jam, pada program bermula jam 10 pagi.

Orang ramai beratur sejak 8 pagi bagi membeli barangan asas pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Pandan Indah di Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya pada 20 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Orang ramai beratur seawal jam 8.30 pagi untuk dapatkan barangan murah 30 peratus di JER berbanding harga pasaran kerana ia meringankan beban terutama golongan pendapatan rendah (B40).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan hingga 1 September depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :