SHAH ALAM, 20 JUN : Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong memperuntuk RM30,000 bagi membaik pulih pintu gerbang di Kampung Baru Batu 11, Cheras.
Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata penggantian pintu gerbang uzur di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) 2023 itu diharap lebih menceriakan serta memberi wajah baharu kepada kampung tersebut.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/gerbang-404x500.jpeg.webp)
“Pintu gerbang sebelum ini usianya lebih lapan tahun dan kini keadaannya kurang cantik disebabkan warnanya yang luntur, banyak huruf tertanggal dan dipenuhi pelekat iklan haram.
“Justeru, kami di DUN Balakong mengambil inisiatif membaik pulih bagi memberi wajah baharu kepada pintu gerbang ini dengan menggunakan peruntukan PSP tahun ini,” katanya ketika dihubungi.
Siew Ki berkata proses menaik taraf itu bermula awal Jun lalu dan mengambil tempoh kira-kira seminggu untuk disiapkan termasuk menggantikan tulisan supaya lebih jelas.
“Semoga usaha ini dapat membawa imej baharu kepada seluruh kampung di Balakong selain diharap tiada individu membuat vandalisme terhadap pintu gerbang ini,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar mengumumkan sejumlah RM28 juta diperuntukkan di bawah inisiatif Projek Selangor Penyayang.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat Selangor.