Calon Pakatan Harapan Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika kenduri rakyat di Kampung Changkat Kiri, Gombak pada 11 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerjasama dengan Muda diputuskan Majlis Presiden HARAPAN

SHAH ALAM, 20 JUN: Dato’ Menteri Besar tidak pernah mengatakan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya negeri (PRN).

Setiausaha akhbarnya berkata Dato’ Seri Amirudin Shari hanya menjelaskan segala rundingan ditentukan Majlis Presiden dengan fahaman kedua-duanya rakan sekerja dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Yang dinyatakan pendirian dan komitmen Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sehingga kini yang
menganggap Muda sebagai rakan kerja susulan kerjasama dijalinkan dalam PRU tujuh bulan lalu.

“Parti Muda jangan tampilkan sikap tidak matang dan bermain politik murahan dengan mencipta cerita dongeng. Saya berharap kenyataan ini diperbetulkan,” kata Jay Jay Denis dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Muda Luqman Long menafikan parti itu berunding dengan HARAPAN untuk membentuk kerjasama dan menentukan jumlah kerusi yang bakal ditandingi dalam PRN.

Dalam PRU tahun lalu, Muda bekerjasama dengan HARAPAN untuk memastikan tiada pertindihan calon di kerusi parlimen yang ditandingi, namun kekal menggunakan logo parti sendiri.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membubarkan Dewan Negeri pada 23 Jun untuk membenarkan PRN diadakan.

Baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran selaras peruntukan dalam Fasal (2) Perkara LXX, Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.


Pengarang :