Tapak pembinaan jejambat Bandar Saujana Putra di Persiaran Saujana Putra pada 2 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Alih trafik mungkin dipertimbangkan sementara jejambat siap

SHAH ALAM, 21 JUN: Pengalihan trafik sementara mungkin akan dipertimbangkan di Bandar Saujana Putra sementara projek pembinaan jejambat di kawasan itu siap dibina Disember ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan pembinaan jejambat bagi mengatasi kesesakan trafik di Bandar Saujana Putra itu.

“Saya sudah minta laporan dihantar sama ada esok atau lusa mengenai perkembangan pembinaan kerana semalam saya lalu tetapi tiada (kerja-kerja) dilaksanakan. Mungkin saya melaluinya pada waktu malam (jadi tiada kerja pembinaan).

“Mungkin siang ada pembinaan. Cuma (perlu) cari solusi bagaimana kita boleh alihkan trafik sementara projek pembangunan berlaku,” katanya katanya dalam sesi Sembang Malam: 5 Tahun Amirudin Shari Mengurus Krisis dan Mentadbir Negeri yang disiarkan secara langsung di tiktok SelangorTV pada Isnin.

Sementara itu Amirudin berkata kerja turapan jalan rosak besar-besaran di sembilan daerah negeri ini sedang giat dijalankan.

“Orang ramai juga boleh laporkan kerosakan jalan di Twitter Infrasel dengan mengikut tatacara yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pembinaan jejambat bagi mengatasi kesesakan trafik di Bandar Saujana Putra dijangka siap Disember tahun ini membabitkan kos keseluruhan RM65 juta.

Pembinaan jejambat sepanjang 815 meter menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) yang tergendala sebelum ini, dimulakan semula selepas isu berkaitan pengalihan utiliti di bawah permukaan jalan raya dan kerjasama dengan pihak lebuh raya selesai.

Amirudin sebelum ini berkata kerja turapan jalan rosak besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer yang bermula 1 Jun lalu dijangka siap sepenuhnya penghujung Julai ini membabitkan peruntukan RM50 juta.

 


Pengarang :