Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mahasiswa, belia usia 18 hingga 20 tahun dapat RM200 mulai 26 Jun

SHAH ALAM, 21 JUN: Belia berumur antara 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT) boleh mendaftar untuk menerima kredit RM200 mulai 8 pagi, Isnin depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bantuan eBeliaRahmah yang menerima peruntukan RM400 juta bawah Belanjawan 2023 bakal memanfaatkan dua juta belia yang layak.

“Selain bertujuan terus memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, inisiatif ini juga sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka.

“Tambahan lagi, ini merupakan peningkatan tawaran kredit e-tunai berbanding RM150 tahun lalu,” katanya yang juga menteri kewangan dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendaftaran program tersebut boleh dilakukan menerusi salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

Anwar menjelaskan penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut akan memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai dan diskaun mata ganjaran sepanjang program tersebut.

“Tempoh pendaftaran dan tuntutan mulai 26 Jun sehingga 22 Ogos 2023, manakala manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan boleh dibelanjakan secara luar talian sehingga 31 Ogos,” katanya.

Tambahnya, kredit RM200 itu juga boleh dimanfaatkan di kedai peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

Untuk maklumat lanjut layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/ebeliarahmah.htm.


Pengarang :