Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM
SHAH ALAM, 21 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) MERU memperuntuk RM300,000 bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) bagi menurap jalan di enam lokasi sekitar kawasan berkenaan.
Wakil rakyatnya berkata projek dengan kos RM50,000 untuk setiap jalan membabitkan lokasi di Surau Darul Makmur Persiaran Hamzah Alang, Pasar Jumaat, Kampung Meru dan Jalan Pusara di Tanah Perkuburan Islam Meru
Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata tiga lagi lokasi termasuklah Jalan Persiaran Hamzah Alang di Sekolah Kebangsaan Meru, Dataran Sekolah Kebangsaan Kapar dan jalan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vallambrosa Sungai Kapar Indah.
“Saya berterima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Daerah Klang yang banyak membantu saya menyelesaikan masalah-masalah yang ada di DUN ini.
“Saya boleh katakan hampir semua isu infrastruktur bawah Kerajaan Negeri di DUN Meru telah kita selesaikan, namun jika masih ada aduan kawasan yang tidak dibaik pulih mungkin kerana ia merupakan tanah atau kawasan milik persendirian,” kata ketika dihubungi.
Tambah beliau, selain kerja penurapan jalan, pihaknya turut menyalurkan dua sumbangan bagi menambah baik prasarana sekolah bawah peruntukan PSP bernilai RM50,000 bagi setiap projek.
“Kita ada juga salurkan peruntukan kepada sekolah seperti pembaikan padang Sekolah Kebangsaan Methodist Kapar dan penggantikan perabot dan meja Sekolah Kebangsaan Sungai Kapar Indah.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati sepanjang lima tahun berkhidmat di sini. Saya telah menyelesaikan beberapa isu di kawasan ini antaranya yang melibatkan infrastruktur, banjir, warga asing dan masalah sampah,” katanya.