Oleh AZIAN AZIZ
HULU KELANG, 21 JUN : Program Jualan Mega Rahmah Aidiladha yang dijadual berlangsung ini di enam lokasi pada 24 dan 25 Jun menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 12,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur.
Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata enam lokasi berkenaan membabitkan Parlimen Gombak, Sepang dan Pandan pada 24 Jun (Sabtu) serta Tanjong Karang, Hulu Selangor dan Sabak Bernam pada 25 Jun (Ahad).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/P_JERHULUKELANG-5-1-500x333.jpg.webp)
“Selain tambahan kuantiti ayam sebanyak 12,000 ekor dengan 2,000 ekor di setiap lokasi, barangan lain seperti telur, ikan, beras dan minyak juga ditambah 6,000 unit atau pek (1,000 unit setiap lokasi).
“Bagi daging kita kurangkan kepada 200 pek atau kekalkan 300 pek seperti jualan harian memandangkan ada daging korban,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Terdahulu beliau meninjau Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Hulu Kelang di Surau Al-Taqwa, Taman Keramat di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/P_JERHULUKELANG-4-500x333.jpg.webp)
Menurut beliau pihaknya turut menawarkan barangan kering jenama Ehsan, minyak peket satu kg serta ikan dan kerang segar di semua lokasi jualan mega.
“Kita juga membuat persediaan untuk menambah jumlah barangan asas jika bilangan pengunjung melebihi jangkaan di mana-mana lokasi.
“Buat masa ini kita menyasarkan 20,000 pembeli sepanjang dua hari jualan mega diadakan,” katanya.
Jualan Mega Rahmah Aidiladha menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Jualan murah sempena musim perayaan itu menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran bagi membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/jer-2-1-500x335.jpg)
Pada April lalu, PKPS mengendalikan Jualan Mega Ehsan Aidilfitri selama enam hari iaitu 15 hingga 20 April berikutan permintaan yang tinggi dengan menawarkan tambahan barangan asas termasuk 36,700 ekor ayam.