Penduduk membeli barangan keperluan dapur pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) DUN Seri Serdang di Surau Nurul Huda, Kampung Kenangan, Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah DUN Seri Serdang diteruskan ke masjid, surau

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

SUBANG JAYA, 21 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang diteruskan ke lokasi tumpuan orang ramai seperti rumah ibadat dan taman perumahan.

Pegawai Khas kepada EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Islah Ismail berkata sebanyak 66 jualan murah sudah dianjurkan berhampiran taman perumahan sekitar DUN itu sejak pelaksanaannya.

Pegawai kepada EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Islah Ismail pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) DUN Seri Serdang di Surau Nurul Huda, Kampung Kenangan, Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Kita merancang untuk mengadakan program jualan murah ini di masjid, surau dan taman bagi tahun ini

“Ini kerana jualan murah barangan asas ini menjadi tumpuan orang ramai dan membantu meringankan beban rakyat dengan memberi peluang mereka membeli pada harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Islah turut menggalakkan penduduk untuk membuka gerai pelbagai jenis selain barangan asas, bersama JER namun perlu membuka khemah secara persendirian.

“Sebelum ini ada enam gerai dibuka, jual buah-buahan, sayuran, durian ‘crepe’, daripada Agro Selangor pun ada, di JER Serdang Jaya. Cuma minta mereka buka khemah sendiri atau secara ‘carboot sale’. Mereka boleh hubungi saya untuk dapatkan lokasi JER,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau program JER peringkat DUN Seri Serdang, di Masjid Nurul Huda, Kampung Kenangan, di sini hari ini.

Penduduk membeli barangan keperluan dapur pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) DUN Seri Serdang di Surau Nurul Huda, Kampung Kenangan, Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Sementara itu Kerani PKPS Alif Afiq Daniel berkata barangan asas seperti daging, ikan dan ayam mendapat permintaan tinggi dan habis terjual dalam tempoh dua jam.

“Tiga barangan asas ini paling laris terjual di sini, bagaimanapun, barangan asas lain juga mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN)

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :