Orang ramai membeli barangan keperluan yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Hulu Kelang di Taman Keramat, Ampang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah lanjut hingga Disember, dua lagi barangan asas ditambah

OLEH AZIAN AZIZ

HULU KELANG, 21 JUN: Program jualan murah barangan asas yang dijadual berakhir September ini dilanjutkan sehingga Disember untuk memanfaatkan lebih ramai penduduk Selangor.

Kini dikenali Jualan Ehsan Rahmah (JER), inisiatif yang dimulakan akhir tahun lalu mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan dua lagi keperluan asas bakal ditambah meliputi minyak peket dan gula sekilogram, yang dijual RM2 setiap bungkusan.

“Perkara itu (meneruskan JER) merupakan mandat Kerajaan Negeri dan harapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang cakna dengan keperluan rakyat.

“Kita juga sedang melihat kesesuaian menambah minyak peket dan gula dalam senarai barangan asas sebelum melaksanakannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi di sini.

Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan bagi melancarkan jualan kepada orang ramai sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Hulu Kelang di Taman Keramat, Ampang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN

Beliau yang ditemui selepas meninjau program itu di Surau Al-Taqwa hari ini menjelaskan PKPS mempunyai bekalan mencukupi untuk dijual kepada orang ramai sehingga hujung tahun ini.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran untuk membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :