KUALA SELANGOR, 21 JUN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melakukan Operasi Kesan (Ops Kesan) besar-besaran di seluruh negara bermula Julai ini.
Pengarah Perkeso negeri Ismail Abi Hashim berkata operasi itu susulan tawaran Bulan Pemutihan yang dilaksana agensi tersebut sejak Mei lalu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/image_6483441-18-e1687333455120-500x329.jpg.webp)
“Kita sudah tawarkan Bulan Pemutihan bermula Mei sehingga akhir bulan ini. Ia bagi memberi peluang kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka tanpa dikenakan apa-apa tindakan.
“Selepas ini kita akan terus buat Ops Kesan untuk menguatkuasa Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800),” katanya.
Terdahulu beliau melawat dan menyampaikan sumbangan Perkeso kepada Muhamad Daniel Musa, 22, yang hilang upaya kekal akibat kemalangan jalan raya di Kampung Parit Mahang di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/image_6487327-7-500x391.jpg.webp)
Menurut Ismail, kegagalan majikan mendaftarkan pekerja masing-masing boleh dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan sehingga RM5,000.
Jelasnya,kebanyakan syarikat di Selangor yang sering culas berdaftar adalah terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana.
“Jika ada seorang pekerja walaupun anak sendiri, majikan tetap perlu mencarum Perkeso. Tempoh pemutihan akan berakhir pada 30 Jun dan selepas tarikh itu kita tidak akan berkompromi lagi,” katanya.