Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor Ismail Abi Hashim ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan Perkeso kepada pekerja hilang upaya kekal di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor pada 21 Jun 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perkeso seru wanita negeri ini daftar caruman khusus untuk suri rumah

KLANG, 22 JUN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyeru wanita di negeri ini berdaftar dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Pengarahnya Ismail Abi Hashim setakat ini hanya 3,000 suri rumah berdaftar dengan skim tersebut berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 80,000 wanita pada tahun ini.

“Sekarang kita hanya ada 3,000 wanita yang berdaftar dengan skim baharu ini di Selangor.

“Kita galakkan yang mana belum mencarum supaya datang atau berdaftar secara atas talian, atau pun suami yang bantu carumkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan Perkeso kepada Muhamad Daniel Musa, 22, yang hilang upaya kekal akibat kemalangan jalan raya di Kampung Parit Mahang di sini, semalam.

SKSSR memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.

Ia terbuka kepada wanita berumur 55 tahun yang bekerjaya atau tidak bekerja, serta berkahwin atau bujang, dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan, yang dibayar secara lebih awal.

Permohonan telah dibuka bermula 1 Disember 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000.


Pengarang :