Penduduk membeli barangan keperluan dapur program Jualan Ehsan Rakyat (JER) DUN Seri Serdang di Surau Nurul Huda, Kampung Kenangan, Puchong pada 21 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Beli barangan asas di JER murah, dapat tampung keperluan sebulan

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

PUCHONG, 21 JUN: Bermodalkan RM100 seorang pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) teruja dapat membeli 10 barangan asas berbanding lima barang dengan nilai sama di pasaran luar.

Sarimah Mohd Nor, 54 yang berniaga Char Kuetiau berkata dia dapat berjimat sehingga RM4 bagi setiap papan telur yang dibeli menerusi program jualan murah berkenaan.

“Berniaga Char Kuetiau perlu banyak guna minyak dan telur. Di sini saya boleh berjimat sebab telur RM10 tapi di pasar harga RM14,” katanya.

Sarimah Mohd Nor, 54 pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) DUN Seri Serdang di Surau Nurul Huda, Kampung Kenangan, Puchong pada 21 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Seorang lagi pengunjung, Siti Nurul Fitrah Izham, 32, berkata dia berbelanja RM200 setiap kali berkunjung ke program JER dan barangan yang dibeli itu boleh menampung keperluan sehingga sebulan.

“Di JER, berbelanja RM200 dapat beli banyak barang seperti beras dan minyak, boleh bertahan penggunaan dalam sebulan,” katanya ketika ditemui pada program JER DUN Seri Serdang di Masjid Nurul Huda, Kampung Kenangan, di sini.

Sementara itu, Nor Shamimi Samad, 27, juga seorang peniaga makanan gembira selepas menerima berita dibenarkan untuk berniaga berdekatan JER.

“Kalau ada peluang untuk buka gerai di JER, saya memang nak,” katanya yang turut mendapatkan keperluan barangan asas di program jualan murah itu.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Siti Nurul Fitrah Izham, 31, pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) DUN Seri Serdang di Surau Nurul Huda, Kampung Kenangan, Puchong pada 21 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

Kerajaan Negeri hari ini turut mengumumkan, Jualan Mega Aidiladha akan diadakan di enam lokasi iaitu di Parlimen Gombak, Sepang, Pandan, Tanjung Karang, Hulu Selangor, Sabak Bernam, dengan tambahan barangan Ehsan, pada 24 dan 25 Jun ini.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :