Oleh AZIAN AZIZ
HULU KELANG, 21 JUN: Seramai empat juta penduduk Selangor menerima manfaat dari Jualan Ehsan Rahmah (JER) sejak dianjurkan pada Setember tahun lalu hingga kini.
Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata dalam tempoh sama, jualan murah berkenaan turut memberi penjimatan RM23 juta menerusi pemberian subsidi oleh Kerajaan Negeri.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/P_JERHULUKELANG-5-1-500x333.jpg.webp)
“PKPS juga memperoleh jumlah jualan sebanyak RM45 juta sejak September hingga kini,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. selepas meninjau Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Hulu Kelang di Surau Al-Taqwa, Taman Keramat di sini hari ini.
Menurut beliau jika dihitung hingga hujung tahun ini pihaknya menyasarkan enam juta rakyat Selangor akan menikmati manfaat jualan murah.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/11/jualan-500x333.jpg)
Jualan murah itu adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Program kendalian PKPS yang menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.
Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS