Orang ramai membeli barangan keperluan yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Hulu Kelang di Taman Keramat, Ampang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSISELANGOR

OKU, warga emas syukur dapat berjimat beli barang dapur di jualan murah

Oleh AZIAN AZIZ

HULU KELANG, 21 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Negeri yang menawarkan barangan dapur berkualiti pada harga murah membantu golongan memerlukan seperti orang kurang upaya (OKU) dan warga tua yang tidak bekerja berjimat.

Seorang OKU kategori lembam Mohd Najib Khalil, 53, dari Flat Taman Keramat yang menampung hidup dengan wang bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata dengan harga barang yang tinggi belum tentu dia dapat merasa makan lauk ayam dan daging dengan lebih kerap.

Mohd Najib Khalil, 53

“Saya dapat bantuan bulanan RM350 dan tinggal seorang diri. Dengan duit itu saya berjimat dan bila ada jualan murah saya tidak akan melepaskan peluang berbelanja kerana harga ditawarkan murah dan barangannya berkualiti,” katanya.

Mohd Najib yang baru tiga kali berpeluang berbelanja di JER berharap program itu diadakan lebih kerap di sekitar kawasan kediamannya bagi memudahkannya untuk membeli barangan murah kerana tidak mempunyai kenderaan dan tidak boleh memandu.

Beliau antara 300 pengunjung program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu kelang di Surau Al-Taqwa, Taman Keramat di sini hari ini.

Pandangan sama turut dikongsi Che Norihan Mohamad Zain, 58, yang menetap bersama kakak dan rakannya yang menghidap barah mengakui dapat berjimat setiap kali berbelanja di jualan murah.

Che Norizan Mohamad Zain, 58

“Kami bertiga tidak bekerja kerana tidak sihat serta berusia dan memang mengharapkan bantuan perubatan kerajaan dan wang bulanan Lembaga Zakat Selangor untuk sara hidup.

“Sebab itu bila ada JER walaupun lokasi yang jauh saya sanggup datang. Di sini saya dapat membeli ayam, daging, ikan dan telur pada harga murah,” katanya yang turut berharap jualan berkenaan diteruskan bagi membantu golongan sepertinya meneruskan kelangsungan hidup.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Jualan murah itu adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Orang ramai membeli barangan keperluan yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Hulu Kelang di Taman Keramat, Ampang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

Jualan murah itu menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS

 


Pengarang :