Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis apresiasi guru-guru sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) Gombak sempena kejayaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 21 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB rai 56 guru SBPI Gombak, lahir ramai pelajar cemerlang SPM

SHAH ALAM, 21 JUN: Seramai 56 guru Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak dirai pada majlis apresiasi hari ini atas pencapaian cemerlang ramai pelajarnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Berlangsung di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, acara berkenaan turut meraikan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pembantu kantin dan koperasi yang menjadi sebahagian tulang belakang sehingga dinobat sekolah terbaik SPM 2022 di Malaysia.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis apresiasi guru-guru sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) Gombak sempena kejayaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 21 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ketika ditemui, Dato’ Seri Amirudin Shari bangga dengan pencapaian sekolah berkenaan apabila 57 peratus daripada 123 calon peperiksaan awam tahun lepas memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

“Kita buat majlis penghargaan kepada sekolah ini kerana prestasi SPM yang sangat menggalakkan dan baik. Sekolah ini bukan sahaja mencatat 100 peratus lulus tetapi 57 peratus dapat semua A.

“Tahniah atas pencapaian ini, malah mereka menunjukkan kemampuan kecemerlangan berterusan. Ia satu hadiah istimewa dan semoga ia diteruskan pada masa depan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) bergambar pada majlis apresiasi guru Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 21 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin turut menyaran guru sekolah terbabit berkongsi resipi kejayaan supaya lebih banyak sekolah di negeri ini meraih pencapaian sama selain memperkasa institusi PIBG.

“Ada formula mujarab untuk pencapaian yang baik. Sudah pasti kena kongsi kaedah latihan dan pengajaran selain penjagaan murid dan paling penting keterlibatan PIBG.

“Hubungan guru dan ibu bapa penting demi kebaikan dan kecemerlangan. Saya rasa itu antara senjata atau resipi yang wajar dikongsi kepada sekolah lain,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SBPI Integrasi Ahmad Shafrin Abdul Aziz terharu kejayaan sekolah yang ditubuh sejak 20 tahun lalu mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.05 tahun lalu mendapat perhatian pemimpin negeri.

Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Ahmad Shafrin Abdul Aziz. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini satu indikator bahawa pelajar kita saling membantu, jika tidak memang sukar untuk kita capai kecemerlangan. Selain itu, guru main peranan untuk kenal pasti masalah pelajar serta atasi kelemahan.

“Gabungan dengan PIBG turut mendorong kejayaan ini. Kita elak sebarang konflik sebaliknya berganding bahu memajukan anak-anak,” katanya menambah SBPI Gombak turut dinobat sekolah terbaik SPM 2020.


Pengarang :