EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas Pusingan akhir Liga Usahawan Wanita Selangor di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 21 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Program liga usahawan bakal diperluas kepada pelajar sekolah

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Program Liga Usahawan anjuran Selangor Youth Community (SAY) dijangka diperluaskan dalam kalangan pelajar sekolah tahun depan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata perancangan itu hasil perbincangan bersama pengasas merangkap Penaung Diraja SAY, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Tuanku Raja Muda merancang beri tumpuan untuk wujudkan program sama untuk pelajar sekolah pula selepas ini.

“Kita harapkan penggal depan seawal Januari program ini dapat dilaksanakan. Justeru, dalam setahun kita boleh laksanakan empat program iaitu SAY Aspire, SAY Lead, Liga Usahawan Wanita dan program untuk pelajar sekolah,” katanya.

Terdahulu beliau hadir pada program pengumuman Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor anjuran Selangor Youth Community (SAY) di Hotel Sunway Putra di sini semalam.

Mengulas lanjut Rodziah berkata Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah mengasah bakat niaga dalam kalangan pelajar sekolah menerusi program Tunas Niaga (PROTUNe).

“Lebih cantik sekiranya Tuanku (Tengku Amir Shah) wujudkan program SAY untuk pelajar sekolah dengan pilih calon terbaik dalam kalangan peserta sedia ada.

“Tuanku sendiri pilih pemenang menerusi pembentangan perniagaan untuk dibantu pada tahap seterusnya,” katanya.

PROTUNe adalah program usahawan melibatkan pelajar tingkatan satu, dua dan empat sekolah menengah seluruh negeri dengan peserta perlu menubuh dan mendaftar syarikat bawah PKNS.

Menerusinya, pelajar boleh menjalankan aktiviti perniagaan di sekolah masing-masing dengan diberi bimbingan serta latihan berterusan untuk meningkatkan kualiti mereka.

Antara latihan disediakan termasuk penjualan produk makanan dan minuman, seni kraftangan, pakaian serta perkhidmatan seperti fotografi, dobi dan katering.

 


Pengarang :