Gambar hiasan perbicaraan mahkamah
AGENDANASIONAL

Tumbuk pekerja kedai serbaneka, dua lelaki direman enam hari

SHAH ALAM, 22 JUN: Dua lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes selepas dipercayai menumbuk muka pekerja kedai serbaneka di Semenyih, 20 Jun lalu.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 31 dan 32 tahun dikeluarkan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pagi tadi, lapor Berita Harian.

Reman kedua-dua suspek bermula hari ini bagi membantu siasatan bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bapa mangsa Shahrul Aminshah Aziz, 40, bersyukur apabila polis berjaya mengesan suspek yang dipercayai mencederakan anak lelakinya, yang berusia 18 tahun.

“Saya harap kes ini dapat diselesaikan segera dan pesalah itu mendapat hukuman setimpal dengan sakit serta trauma dialami anak saya,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Sebelum ini, media melaporkan pekerja kedai serbaneka cedera di muka selepas ditumbuk lelaki mabuk berikutan menegurnya mengambil payung dalam premis berkenaan, awal pagi kelmarin.

Suspek juga mengambil swafoto bersama mangsa sebelum beredar meninggalkan premis.

 

 


Pengarang :