Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat melaksanakan kerja baik pulih jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ di Jalan PJS 1/25 Petaling Jaya pada 20 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENDANASIONAL

Infrasel teruskan projek turap jalan mega di Hulu Langat, Petaling Jaya

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerja penurapan jalan secara besar-besaran di seluruh negeri oleh Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) diteruskan sekitar Hulu Langat dan Petaling Jaya bermula Isnin lalu.

Syarikat penyelenggara jalan negeri di Twitter memaklumkan kerja pembaikan terbabit sebahagian Projek Turapan Mega yang giat dilaksanakan pentadbiran negeri sejak bulan lepas.

“Kerja baik pulih melalui kaedah ‘mill and pave’ (buang lapisan turapan rosak dan gantikan dengan lapisan baharu) sedang giat dilaksanakan di Jalan PJS 1/25 Petaling Jaya.

“Manakala pembaikan di Persiaran Mahkota Cheras, Hulu Langat pula menggunakan kaedah ‘overlay’ (turapan atas permukaan jalan sedia ada yang gagal berfungsi),” kata Infrasel.

Pada 16 Mei, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata projek melibatkan kos RM50 juta itu dijayakan bagi meningkatkan kemudahan orang ramai yang dibuat secara menyeluruh.

Beliau juga menjelaskan peruntukan tersebut sebagai tambahan kepada dana RM500 juta pada setiap tahun bagi menguruskan semua jalan negeri.

Pada 7 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem aduan kerosakan jalan raya akan diperluas ke Facebook untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksana Infrasel, yang dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai di Twitter.

 


Pengarang :