Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan GoGet membantu komuniti pekerja gig menyimpan bagi persaraan mereka. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KWSP lulus pinjaman peribadi melalui Akaun 2 hampir RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Sejumlah RM981.9 juta diluluskan bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 11 Jun lepas, menurut Kementerian Kewangan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM878.6 juta di bawah Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan baki, RM103.3 juta dengan Bank Simpanan Nasional (BSN).

FSA2 telah dipohon oleh 168,925 orang, namun yang layak hanya 88,414 orang. Daripada jumlah ini, seramai 47,696 orang bersetuju untuk menerima tawaran pembiayaan tersebut, katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

Ia menjawab pertanyaan lisan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu jumlah pencarum yang telah memohon dan mendapat kelulusan pinjaman menggunakan KWSP sebagai cagaran sehingga Mei 2023.

Permohonan yang tidak layak adalah disebabkan pemohon tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti permohonan tidak lengkap, di luar umur kelayakan dan baki simpanan Akaun 2 tidak mencukupi.

Permohonan program FSA2 Fasa 1 dibuka sejak 7 April lalu.

-BERNAMA


Pengarang :