Mangsa banjir dari enam kampung di Dewan Undangan Negeri Paya Jaras beratur untuk mengambil sumbangan daripada Kerajaan Negeri di Dewan MBSA Paya Jaras, Shah Alam pada 22Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

387 keluarga di DUN Paya Jaras terjejas bah terima sumbangan hampir RM100,000

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 22 JUN: Seramai 387 keluarga dari enam kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras yang terjejas akibat bah pada Mac lalu menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri hari ini.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan RM96,750 disalurkan kepada keluarga dari Kampung Kubu Gajah (265 rumah), Kampung Paya Jaras Hilir (41) dan Taman Paya Jaras Permai (38).

Mohd Khairuddin Othman berkata bantuan sama turut diberikan kepada keluarga dari Kampung Paya Jaras Dalam (24), Kampung Paya Jaras Tengah (2) dan Kampung Merbau Sempak (17).

“Semoga sumbangan ini dapat membantu mereka yang terkesan akibat banjir. Apa yang lebih penting pertemuan bersama penduduk kali ini juga adalah bagi membincangkan penambahbaikan untuk atasi banjir di Paya Jaras.

“Ia bertujuan untuk memajukan dan penambahbaikan untuk rakyat di negeri ini terutamanya di Paya Jaras,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman beramah mesra dengan penduduk pada majlis penyampaian sumbangan mangsa banjir dan sesi penerangan penambahbaikan bagi mengatasi banjir DUN Paya Jaras di Dewan MBSA Paya Jaras, Shah Alam pada 22 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Terdahulu, Mohd Khairuddin menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan dan sesi penerangan penambahbaikan atasi banjir Paya Jaras di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras Tengah, di sini.

Keluarga yang sebelum ini berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) menerima RM500 manakala RM250 bagi mereka yang tidak berpindah.

Sementara itu, seorang daripada penerima sumbangan, Abu Nawas Abdul Rahman, 65, bersyukur atas sumbangan dan menyifatkan pemberian itu sebagai tanda prihatin Kerajaan Negeri terhadap rakyat yang dilanda musibah.

“Syukur atas pemberian sumbangan dan apa yang lebih penting kepimpinan Paya Jaras cuba selesaikan masalah penduduk seperti isu sungai serta saluran yang perlu ditambah baik.

“Diharap dengan usaha untuk memperbaiki saluran longkang dan dalamkan sungai berdekatan dapat elak banjir kilat berulang” katanya yang juga penduduk asal Kampung Paya Jaras Dalam.

Bagi Chooi Yoke Heng, 63, penambahbaikan prasarana perlu dipercepatkan bagi memastikan penduduk tidak tertekan setiap kali hujan lebat di kawasan itu.

“Setiap kali hujan lebat saya tidak senang duduk kerana bimbang banjir kilat berulang.

“Walaupun belum sampai tahap perlu berpindah ke PPS setakat ini, tetapi kerosakkan harta benda dan ancaman nyawa membuatkan saya rasa trauma setiap kali hujan lebat,” katanya yang bercadang menyimpan sumbangan itu untuk kecemasan.


Pengarang :