Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizan Zamanhuri (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Kampung Hamid Tuah, Telok Gong, Pelabuhan Klang pada 22 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Pelabuhan Klang agih empat lembu, 10 kambing kepada masjid terpilih

KLANG, 23 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima empat ekor lembu dan 10 ekor kambing bagi menjalankan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.

Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata lembu dan kambing sumbangan Kerajaan Selangor akan diagih kepada masjid serta surau terpilih mengikut sistem penggiliran.

“Kita sudah kenal pasti masjid dan surau yang layak untuk ibadah korban. Jika masjid atau surau di kampung A sudah dapat tahun lepas, tahun ini giliran masjid atau surau di kampung lain pula.

“Kita mahu semua orang dapat merasa sebab lembu dan kambing yang diperoleh tidak banyak,” katanya ditemui di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan ada pihak yang bermurah hati menyumbang lembu untuk diagih kepada masjid dan surau di kawasan berkenaan.

“Kita juga akan kenal pasti mana-mana masjid atau surau untuk terima sumbangan ini. Keutamaan kepada institusi ibadat yang masih kurang keperluan itu,” katanya.

Sebelum ini, EXCO pemodenan pertanian berkata sejumlah RM6 juta diperuntuk bagi sumbangan ibadah korban pada 2023, meningkat berbanding tahun lepas berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000.

Selain itu, pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 ekor kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor.


Pengarang :