Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis perhimpunan penjawat awam dan pemimpin masyarakat di bangunan pentadbiran negeri pada 23 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hormati penjawat awam tangani isu sekolah agama persendirian

SHAH ALAM, 23 JUN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersimpati terhadap penjawat awam yang ‘diserang’ golongan tidak bertanggungjawab dalam isu sekolah agama persendirian.

Meminta mereka bersabar ketika berdepan cabaran sedemikian, beliau juga meminta semua pihak supaya menghormati peranan kakitangan kerajaan dalam memenuhi tuntutan tugas.

“Sejak mutakhir ini, saya bersimpati terhadap kakitangan awam yang diserang oleh mereka yang pentingkan diri. Mereka ini sengaja mahu timbulkan kemarahan.

“Bila kita ikut undang-undang, mereka kata kita mahu tutup sekolah agama,” katanya dalam perhimpunan bulanan bersama penjawat awam di bangunan pentadbiran negeri di sini hari ini.

Beliau dipercayai merujuk isu garis panduan untuk sekolah agama persendirian yang ditambah baik bagi meningkatkan tahap keselamatan murid ekoran tragedi kebakaran pada akhir 2018.

Panduan tersebut dibuat pada 2019 berasaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ekoran kejadian yang meragut nyawa 23 murid.

Amirudin juga mengingatkan Islam menganjur umatnya supaya menjaga kepentingan nyawa, salah satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah selain menjaga agama, akal, harta dan keturunan.

“Jaga Islam itu betul, yang kedua adalah menjaga nyawa. Kalau tidak jaga betul-betul, siapa yang mahu bertanggungjawab?” katanya.

Sebelum ini, pihak tertentu melempar tohmahan kononnya banyak sekolah agama persendirian di negeri ini terancam berikutan adanya program pemutihan yang menggunakan garis panduan baharu.

Mereka mendakwa pengusaha sekolah sedemikian sukar mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan untuk beroperasi.


Pengarang :