Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasir bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan penyandang kerusi Seri Setia Halimey Abu Bakar meninjau keadaan di PPR Lembah Subang 1 pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
SELANGOR

Dana tambahan RM746,000 ganti susur tangan PPR Lembah Subang 1

PETALING JAYA, 23 JUN: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melulus peruntukan tambahan RM746,000 bagi penggantian susur tangan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika meninjau perumahan tersebut diiringi Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar.

“Pada tahun ini, kita telah memperuntuk RM1.063 juta merangkumi baik pulih dan selenggara kerosakan antaranya dua unit terbakar, pendawaian elektrik dan lif, yang mana semua kerja-kerja baik pulih ini sedang digerakkan.

“Selepas meninjau persekitaran hari ini, kita meluluskan bajet tambahan RM746,000 bagi tujuan penggantian susur tangan di semua blok. Kelulusan menggantikan infrastruktur ini adalah demi keselamatan penduduk.

“Keseluruhannya di PPR Lembah Subang 1, kita telah peruntuk RM30 juta sejak KPKT ambil alih pengurusan sejak 2017,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Akmal Nasrullah, selain kelulusan peruntukan itu, pihaknya juga mencadangkan sebuah badan bertindak penduduk ditubuhkan yang akan dikelolakan ahli parlimen dan ahli dewan negeri.

“Badan pengurusan ini akan bertindak bagi memudahkan urusan kebajikan dan keperluan penduduk setempat.

“Selain itu, kita juga berbincang bagaimana hendak memperkasakan penduduk dengan kerjasama KPKT dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO),” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan KPKT akan meneliti secara terperinci pengurusan di setiap PPR bagi tempoh suku ketiga tahun ini.

“Komitmen KPKT memantau projek terbengkalai iaitu membantu pembeli mendapatkan rumah. Namun, bagi suku ketiga kita teliti rapat pengurusan PPR khususnya libatkan kementerian dan Think City selaku organisasi memperbaiki sistem pengurusan PPR,” jelasnya.


Pengarang :