SHAH ALAM, 23 JUN: Keluarga mangsa kebakaran di Kampung Jalan Kebun Tambahan di sini berterima kasih atas keprihatinan dan bantuan kewangan diberi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Mangsa, Kamarulzaman Ismail, 51, berkata wang tunai RM3,000 memenuhi keperluan menjelang Aidiladha setelah menanggung kerugian besar akibat bencana itu.
“Sumbangan MBI memenuhi keperluan mendesak menjelang Hari Raya tidak lama lagi. Banyak kerugian dengan anggaran kasar RM35,000 hingga RM40,000.
“Terima kasih kepada MBI tampil menghulurkan bantuan ketika waktu memerlukan ini,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/IMG_3055-500x375.jpg.webp)
Seorang lagi mangsa, Esha Amani, 34, turut meluahkan rasa terharu dengan kunjungan dan keprihatinan MBI.
Menceritakan kebakaran pada kira-kira pukul 5.30 petang Khamis, Esha berkata beliau berada di luar kawasan dan diberitahu tentang insiden itu setelah menerima panggilan telefon daripada anaknya.
“Anak hubungi saya kebakaran di rumah belakang sehingga marak ke rumah kami. Apabila sampai, rumah sudah musnah dijilat api.
“Bantuan dan kunjungan MBI akan memudahkan urusan dan keperluan untuk mengemas rumah, dengan kerugian berjumlah RM5,000. Rasa terharu dan dihargai, tidak biarkan kami terkontang-kanting,” katanya.
Manakala Yusof Daud, 43, menyifatkan bantuan MBI sebagai rezeki ketika ditimpa musibah.
“Kebakaran ini memberi kesan kepada saya kerana telah hilang tempat berteduh. Bantuan ini memberi kelegaan buat saya sekeluarga,” katanya.