Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM, 23 JUN: Seramai enam bayi yang lahir pada Hari Bandar Raya Petaling Jaya ke-17 pada 20 Jun lalu menerima cenderamata bernilai RM300 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sekretariat Media dan Unit Komunikasi Korporatnya memaklumkan hamper barangan keperluan bayi itu disampaikan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir pada 21 Jun lalu.
Azhan dan rombongan melawat bayi yang dilahirkan di tiga hospital iaitu Hospital Assunta (seorang), Hospital Thomson Kota Damansara (empat) dan Pusat Perubatan KPJ Damansara (seorang).
Kesemua bayi turut diberikan kad keahlian seumur hidup Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya.
Program yang dilaksana sejak tahun lalu merupakan salah satu inisiatif MBPJ untuk menunjukkan keprihatinan dan penghargaan kepada warganya.