Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

77 individu ditahan disyaki terlibat sindiket penipuan penukaran mata wang

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Polis menahan 77 individu kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan penukaran mata wang atau Forex dalam talian, di sebuah kondominium sekitar Lembah Klang, kelmarin.

Mereka yang ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan Bahagian Risikan/Operasi membabitkan 43 lelaki dan 34 wanita, berumur dalam lingkungan 17 hingga 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata sindiket berkenaan, menyasarkan pelabur dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata siasatan awal terdapat unsur penipuan pelaburan Forex dalam talian, dengan menggunakan laman sesawang.

“Polis turut merampas antaranya 35 set komputer, 29 unit komputer riba, satu unit tablet, 20 unit telefon bimbit, 38 pas pekerja.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420/120 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman 23 hingga 24 Jun 2023 bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Amihizam meminta orang ramai membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang transaksi.

Selain itu, orang ramai juga diminta melaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan.

“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :