Datuk Bandar MBPJ Mohd Azhan Md Amir bersama pemenang cabutan bertuah bagi pembayaran penuh cukai taksiran dalam talian pada 23 Jun 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
PBTSELANGOR

Bayaran cukai dalam talian, MBPJ kutip RM121 juta tempoh lima bulan

Oleh Amirul Fazli

SHAH ALAM, 23 JUN : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mencatat RM121.39 juta kutipan cukai taksiran dalam talian untuk lima bulan pertama 2023.

Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir berkata kutipan ini meningkat sebanyak 3.82% jika dibandingkan dengan kutipan tahun 2022 sebanyak RM116. 92 juta.

“Jumlah berbayar berdaftar juga menunjukkan peningkatan pada tahun ini iaitu 7,767 berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 3,148.

“Ketika ini kita ke arah menggalakkan penduduk Petaling Jaya untuk membuat bayaran secara dalam talian pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Bagi menghargai mereka yang melakukan bayaran penuh setahun cukai taksiran secara atas talian seperti yang ditetapkan, MBPJ telah mengambil inisiatif dengan mengadakan cabutan bertuah.

“Sebanyak 65 hadiah seperti barangan elektrik dan elektronik tersedia kepada mereka yang layak,”ujarnya.

Inisiatif bayaran dalam talian ini antara fokus utama MBPJ selari dengan Kerajaan Negeri dan persekutuan ke arah zero kaunter dan tanpa tunai.


Pengarang :