Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad (tengah) melawat gerai ketika pelancaran penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) ketika program Karnival Ampang Mampan di Lorong Ampang Mampan pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Lorong Ampang Mampan kini jadi tumpuan, jana ekonomi penduduk

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

AMPANG, 24 JUN: Lorong Ampang Mampan yang kini dijenamakan sebagai Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) sepanjang 300 meter kini menjadi tumpuan lebih 60 peniaga untuk menjana pendapatan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad berkata ruang niaga yang diberi nafas baru itu dijangka memberi anjakan paradigma untuk menonjolkan imej baharu peniaga kecil di kawasan itu.

“Penjenamaan semula lorong ini dilaksanakan mengikut keperluan semasa dan permintaan peniaga serta pelanggan untuk mewujudkan ‘uptown’ dalam kawasan MPAJ.

“Ia dapat menjadi iltizam baharu peniaga untuk menawarkan perkhidmatan terbaik, kebersihan gerai, produk dan makanan berkualiti,” katanya pada Majlis Perasmian Uptown Lorong Ampang Mampan Sempena Karnival Ampang Mampan (SDGS) di sini semalam.

Antara gerai yang beroperasi selepas penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) semperna program Karnival Ampang Mampan pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Beliau berkata dengan penjenamaan itu ia diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung seterusnya menjadikan Ulam sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di Ampang Jaya.

Menurut Dr Ani penjenamaan itu melibatkan kerja tambahan iaitu empat lukisan mural di dinding Zon A, membaik pulih lukisan mural sedia ada dan mencetak risalah promosi.

Tambahnya, ia melibatkan kos RM15,000 daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan kos tambahan RM17,000 lagi daripada MPAJ dengan kos keseluruhan RM32,000.

“Setakat hari ini 60 penjaja diberi peluang berniaga di sini dengan 30 penjaja di Zon A dan selebihnya di Zon B.

Mohd Syafik Au 27, antara peniaga di Uptown Ampang Mampan selepas penjenamaan semula Uptown sempena program Karnival Ampang Mampan pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“MPAJ dalam perancangan mengembangkan bilangan penjaja di Zon B kepada 30 orang lagi menjadikan jumlah keseluruhan hampir 100 penjaja,” katanya.

Penambahan itu katanya memberi peluang kepada lebih ramai penduduk menjana pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi setempat.


Pengarang :