SEPANG, 24 JUN: Kerajaan Negeri melaksana pelbagai inisiatif bagi menyediakan sumber bekalan air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
EXCO Infrastruktur berkata pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 34 peratus kepada hanya 28 peratus ketika ini membuktikan negeri serius menguruskan isu air.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/image_6483441-19-500x333.jpg.webp)
“Sebelum ini kadar NRW kita adalah antara yang tertinggi di Malaysia tetapi kita sasarkan untuk kurang sedikit demi sedikit iaitu sekurang-kurangnya satu peratus setiap tahun.
“Akhirnya kita berjaya kurangkan sehingga hanya 28 peratus sekarang. Semua ini kerana kita sentiasa berusaha mahu berikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya Ir Izham Hashim kepada Selangorkini hari ini.
Menurutnya, masalah bekalan air akibat paip usang tidak dapat diselesaikan secara drastik berikutan Selangor memiliki 35,000 km panjang paip.
Jelas Ir Izham, setiap tahun sepanjang 120 km paip usang ditukar dan proses itu dijalankan secara berterusan sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih pentadbiran negeri.
“Saya faham, kita sudah hampir ke pilihan raya negeri (PRN). Tetapi saya harap, kalau pembangkang mahu mainkan sentimen politik, berilah fakta yang betul kepada rakyat,” katanya.
Pada 22 Jun, portal Harakah Daily melaporkan Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor Abdul Basith Abdul Halim mendakwa Kerajaan Negeri tidak mampu menguruskan isu air kerana melambatkan projek penukaran paip usang.
Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan setakat Januari lalu, lebih 800 km paip diganti bagi memastikan kelestarian air pada masa hadapan.