Orang ramai membeli barang keperluan asas di Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 24 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Puji sistem jualan teratur, penduduk mahu lokasi jualan murah ditambah

Oleh SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 24 JUN: Sistem penjualan yang teratur antara faktor penduduk memilih untuk mengunjungi dan berbelanja di jualan murah anjuran Kerajaan Negeri.

Pekerja swasta, Nor Ayuni Ahadiah, 36, berkata lokasi jualan yang berdekatan kawasan kediaman turut memudahkan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan termasuk warga emas dan suri rumah.

Nor Ayuni Ahadiah, 36

“Harga murah dan berkualiti terutama barangan kering jenama Ehsan serta faktor lokasi juga banyak membantu penduduk, tidak perlu ke pasar raya yang jauh.

“Dengan sistem nombor, jualan lebih teratur, kita (orang ramai) tak perlu bersesak seperti di pasar, tempat duduk juga disediakan jadi tunggu sekejap saja dah selesai,” katanya.

Beliau antara 1,000 pengunjung yang hadir sejak 8.30 pagi pada Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Gombak di padang awam Taman Batu Caves, di sini, hari ini.

Nuraisyah Mohd Asri, 25

Sementara itu, Nuraisyah Mohd Asri, 25, pula berpendapat program jualan mega berkenaan sangat bertepatan bagi penduduk mendapatkan barangan keperluan menjelang musim perayaan.

“Inisiatif jualan murah ini dapat membantu penduduk buat persiapan serta mereka yang ada kekangan kewangan, saya cadang diperbanyakkan lokasi jualan dan diteruskan,” katanya yang bekerja sebagai jururawat di hospital kerajaan.

Sementara itu, suri rumah, Nor Asmah Fatin Amirah Nor Hamizan, 28, mahu program JER diteruskan bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima manfaat.

“Masih ramai perlukan bantuan, kita masih dalam fasa pemulihan selepas pandemik, malah ada yang bawa RM10 saja, tapi masih boleh beli (barang).

“Mereka yang kurang kemampuan memang berharap pada jualan murah seperti ini untuk berjimat bagi menampung kos sara hidup yang lain,” katanya.

Orang ramai membeli barang keperluan asas di Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 24 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Jualan Mega Rahmah Aidiladha yang berlangsung hujung minggu mulai hari ini menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 12,000 ekor ayam dan 6,000 papan.

Selain Parlimen Gombak, jualan sama turut berlangsung di Parlimen Pandan (Dewan Serbaguna Jalan H, Kampung Pandan Dalam) dan Parlimen Sepang (Pantai Batu Laut) hari ini.

Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan esok ke Parlimen Tanjung Karang (Dewan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing), Parlimen Sabak Bernam (Tapak Pasar Sehari Pekan Sabak) dan Parlimen Hulu Selangor (Dataran Niaga Serendah).

PKPS turut menawarkan barangan kering jenama Ehsan, minyak peket satu kg serta ikan dan kerang segar di semua lokasi jualan mega.


Pengarang :