AGENDAJENAYAH

Warga emas maut kemalangan sukan luncur udara bermotor

KOTA BHARU, 25 JUN: Muhamad Saiful Mustaffa, 30, anak warga emas yang maut kemalangan paramotor di Pantai Irama, Bachok kelmarin, tidak sempat melarang bapanya daripada melakukan aktiviti berkenaan.

Muhamad Saiful, yang bekerja sebagai penyelenggara hotel di Kijal, Terengganu berkata Allahyarham Mustaffa Isa, 60, meminati sukan luncur udara bermotor itu selepas sering mengikutinya melakukan aktiviti itu beberapa kali sebelum ini.

“Setelah melihat arwah menghantar gambar swafoto di atas paramotor menerusi kumpulan WhatsApp keluarga, saya terus rasa tidak sedap hati dan segera menghubunginya.

“Arwah jawab panggilan saya tetapi diputuskan kerana dia sudah hendak berlepas dan beritahu akan hubungi saya semula, namun selepas itu hanya khabar kematiannya saya terima,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Seribong, di sini semalam.

Muhamad Saiful yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik berkata dia berpengalaman selama 10 tahun mengendalikan paramotor yang dipelajari daripada rakan bapanya, Mat Jusoh Mamat, 77, yang turut terlibat dalam kemalangan terbabit namun terselamat.

Terdahulu, media melaporkan Mustaffa lemas manakala Mat Jusoh selamat selepas paramotor mereka terjunam ke dalam laut di Pantai Irama, kira-kira 6.50 petang kelmarin.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Rosnah Hassan, 58, berkata suaminya tidak menunjukkan kelakuan pelik cuma beria-ia mengajaknya minum bersama di Pantai Irama, dua hari sebelum kejadian, tetapi tidak sempat menuruti ajakan tersebut.

Jenazah Mustaffa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seribong kira-kira 11 pagi semalam.

– BERNAMA


Pengarang :