Bas dijadikan tempat berniaga di Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) sempena Program Karnival Ampang Mampan pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI.
PBTSELANGOR

Bazar Lorong Ampang Mampan lokasi tumpuan, tarik ramai pengunjung

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

AMPANG, 25 JUN: Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) yang diberi nafas baru disambut baik pengunjung malah mereka yakin ia akan menjadi lokasi tumpuan berikutan terletak di pusat bandar.

Pengunjung, Saleha Ismail, 48, berkata wajah baru bazar larut malam tersebut yang nampak lebih segar dan meriah mampu menarik lebih ramai pengunjung berbanding sebelum ini.

Saleha Ismail ditemui ketika pelancaran penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Saya selalu datang ke sini kerana ada banyak gerai makanan tular cuma sebelum ini lorong belakang ini agak gelap dan kurang menarik.

“Jadi apabila tempat ini dinaik taraf ada juga tempat nak bawa keluarga pada hujung minggu di Ampang,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Ulam di sini, Jumaat lalu.

Lorong Ampang Mampan sepanjang 300 meter itu menempatkan lebih 60 peniaga dan ia dibuka kepada orang ramai dari Jumaat hingga Ahad.

Bagi Aimi Ayuni Ali, 38, meskipun kali pertama berkunjung ke situ beliau teruja melihat pelbagai barangan dijual pada harga murah.

Aimi Ayuni Ali ditemui ketika pelancaran penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Tempat yang baru untuk bawa keluarga dan anak kecil malah saya sukakan konsep mural di sepanjang dinding bangunan di lorong belakang ini.

“Harapan saya agar kita sebagai pengunjung sama-sama menjaga kebersihan dan keindahan tempat ini, buang sampah di tempat disediakan dan jangan lakukan vandalisme,” katanya.

Sementara itu peniaga barangan bundle Sadrudin Amir Zainuddin memuji usaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menaik taraf kawasan itu bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung ke situ.

Sadrudin Amir Zainuddin ditemui ketika pelancaran penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Ulam juga diharap dapat menjadi medan anak muda mengikuti aktiviti hiburan sihat yang akan diwujudkan di sini sekali gus mengelak mereka terjebak dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Peniaga minuman Ari Azhari berkata selain dapat meningkatkan ekonomi peniaga, Ulam disifatkan bertepatan memandangkan kawasan Ampang terletak di tengah kota dan menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Ari Azhari ditemui ketika pelancaran penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Dengan konsep dan keunikan ditawarkan saya rasa tempat ini boleh pergi jauh, malah mungkin menjadi lokasi ikonik di Ampang seperti Jonker Walk di Melaka.

“Cuma peniaga di sini berharap promosi lebih agresif dilakukan MPAJ dan penganjur supaya tempat ini lebih dikenali dan menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad (tengah) merasmikan penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) ketika Program Karnival Ampang Mampan di Lorong Ampang Mampan pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Pengarang :