Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan peserta Perlumbaan Basikal Antarabangsa Selangor (SIR) 2023 di Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam pada 25 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tengku Amir Shah cemar duli lepaskan peserta lumba basikal antarabangsa Selangor

Oleh Najamuddin Mohd Nor

SHAH ALAM, 25 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli melepaskan peserta Perlumbaan Basikal Antarabangsa Selangor (SIR) 2023 hari ini.

Tengku Amir Shah menyempurnakan program itu di hadapan bangunan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada jam 7.30 pagi.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Ketua Operasi Eksekutif PKNS, Dato’ Mahmud Abbas serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haris Kasim.

SIR 2023 yang julung kali diadakan disertai 1,050 pelumba basikal termasuk dari luar negara yang mengharungi perlumbaan sejauh 145 kilometer.

Seramai 1,050 peserta Perlumbaan Basikal Antarabangsa Selangor (SIR) 2023 termasuk dari luar negara memulakan kayuhan sejauh 145 kilometer di hadapan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 25 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, seawal jam 6.30 pagi peserta SIR 2023 berkumpul di kawasan permulaan untuk menyertai beberapa kategori perlumbaan.

Bagi kategori kayuhan VVIP sejauh 18 kilometer, 70 peserta mengambil bahagian yang turut dilepaskan Tengku Amir Shah kira-kira setengah jam kemudian.

Sementara itu, PKNS dalam kenyataan berkata, SIR 2023 mengukuhkan lagi kedudukan Selangor sebagai pusat pelancongan sukan terkemuka.

“Acara ini memainkan peranan penting dalam mendorong Selangor untuk menjadi hab sukan terkemuka di peringkat serantau.

“Melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Belia Selangor, SIR 2023 mewujudkan kerjasama jangka panjang yang akan meningkatkan kedudukan Selangor dalam landskap sukan.

“Ini secara tak langsung membuka jalan bagi edisi akan datang, yang berpotensi menjadi acara tahunan dalam kalendar sukan negara,” menurut kenyataan itu.


Pengarang :