Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Warga emas rugi RM3.5 juta, ditipu lelaki dakwa boleh bebaskan anak

JOHOR BAHRU, 26 JUN: Wanita warga emas mendakwa kerugian RM3.5 juta selepas terpedaya dengan helah lelaki yang mendakwa dapat membebaskan anak perempuannya yang ditahan di Penjara Kajang, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP M Kumar berkata ahli perniagaan yang berusia 67 tahun mengenali lelaki tempatan itu pada Mac 2020 yang dikatakan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes bagi membebaskan anaknya berusia 38 tahun itu, dengan syarat membayar sejumlah wang kepadanya.

Beliau berkata anak kepada ahli perniagaan itu sebelum ini ditahan atas kesalahan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), sejak 2019.

“Mangsa yang terpedaya telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM3.5 juta secara berperingkat kepada lelaki itu sejak Mac 2020 hingga bulan ini, namun percaya telah ditipu kerana anaknya masih tidak dibebaskan meskipun bayaran telah dibuat, dengan memberi pelbagai alasan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan lelaki berusia 35 tahun itu pada 16 Jun lepas, pukul 12.35 pagi di sekitar bandar raya ini, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

“Kita ingin menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali.

“Bagaimanapun, jika telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi ‘National Scam Response Centre’ (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat aliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :