Menteri Pengangkutan Anthony Loke melawat kemudahan yang terdapat di CapsuleTransit Terminal 1 selepas melancarkannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 26 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tekanan berterusan pastikan KLIA mampu saingi Lapangan Terbang Changi

SHAH ALAM, 26 JUN: Tekanan berterusan akan diberikan kepada pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) supaya lapangan terbang negara mampu menyaingi kedudukan lapangan terbang lain.

Selain berpotensi besar sebagai hab kargo di rantau Asia, menteri pengangkutan berkata Malaysia memiliki keluasan tanah dan tempat selain pembangunan projek e-dagang, lapor Berita Harian.

Menurut Anthony Loke, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dibuka 25 tahun lalu perlu ditambah baik daripada segi perkhidmatan untuk menandingi negara jiran terutama Singapura.

“Saya akan terus memberi tekanan kepada pengurusan MAHB. Kalau cakap kita jauh berbeza dengan Changi (lapangan terbang Singapura), apa yang kita tiada?

“Saya rasa tiada apa yang mustahil untuk bersaing dengan Changi. Memang Changi ada kelebihan tetapi jangan mengalah bahawa kita tak boleh bersaing dengan negara luar,” katanya seperti dilaporkan.

Beliau berkata KLIA perlu meningkatkan imej dan prestasi seperti dilakukan negara lain termasuk menambah baik aerotrain, sistem pengendalian bagasi, ekosistem, kemudahan hotel dan peruncitan.

“KLIA juga perlu mesra pelabur dan saya harap dalam tempoh tiga tahun ini, kita dapat lihat perubahan drastik,” katanya lagi.

Menerui Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax 2023, Lapangan Terbang Changi di Singapura dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik dunia, sementara KLIA pada kedudukan ke-67.


Pengarang :