OLEH SHAMZ JOHAN
AMPANG JAYA, 27 JUN: Program jualan murah barangan asas terus meraih sokongan ramai dengan 500 ekor ayam terjual dalam tempoh dua jam di tapak pasar malam Ukay Perdana, di sini.
Pengurus komunikasi strategik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan penduduk beratur seawal 8 pagi untuk membeli keperluan sempena sambutan Aidiladha, Khamis ini.
“Kita hadkan pembelian telur dan dua ekor ayam setiap seorang supaya semua pengunjung dapat memperoleh barang keperluan masing-masing,” kata Azreena Abdul Aziz ketika ditemui hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/P-JER-Bukit-Antarabangsa-3-500x333.jpg.webp)
Beliau menambah program Jualan Ehsan Rahmah (JER) akan berehat selama lima hari bermula esok sempena Aidiladha dan bersambung seperti biasa pada 3 Julai.
Dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat, program tersebut akan diteruskan sehingga hujung tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta.
JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).