Orang ramai membeli pelbagai keperluan bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha ketika program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Dewan Chengal MBSA, Shah Alam pada 27 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah di empat lokasi DUN Batu Tiga pada Julai

OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 27 JUN: Program jualan murah barangan asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dijadual berlangsung di empat lokasi lagi pada bulan depan.

Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Zon 8 Siti Nur Aishah Mohd Zain memaklumkan lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) bakal diadakan di Seksyen 16, 17, 19 dan 24.

“Disebabkan jadual yang terlampau padat dengan pelbagai program sebelum ini, kita tidak berpeluang untuk adakan program jualan murah di DUN Batu Tiga tahun ini berbanding tahun lepas.

“Tetapi untuk Julai nanti, kita akan adakah program ini di empat lokasi yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat dan kami pelawa orang ramai untuk datang,” katanya ketika ditemui di sini.

Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membungkus ayam yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Dewan Chengal MBSA, Shah Alam pada 27 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau gembira program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dianjurkan sejak tahun lalu mendapat sambutan baik penduduk.

“Program hari ini di Dewan Cengal Majlis Bandaraya Shah Alam pun kita dapat slot saat akhir disebabkan ada kawasan yang batalkan penganjuran,” katanya lagi.

Dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat, program tersebut akan diteruskan sehingga hujung tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Bagi mengetahui lokasi lengkap, orang ramai boleh menyemak Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :