Petugas PKPS menyusun barangan jualan dan membungkus ayam pada Program Jelajah Ehsan Rahmah Dun Batu Tiga di Dewan Chengal MBSA pada 27 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Beras, telur dan ayam paling laris di jualan murah DUN Batu Tiga

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 27 JUN: Beras, telur dan ayam menjadi barangan asas paling laris pada Jelajah Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Cengal MBSA di sini, hari ini di saat umat Islam bakal menyambut Aidiladha dua hari lagi.

Penolong Pengetua Permata Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Nur Amirah Mahdan berkata ketiga-tiga barangan itu habis dijual dalam tempoh sejam setengah sejak jualan dibuka pada 10 pagi.

“Hari ini kita anggarkan lebih 300 pengunjung telah datang ke program ini dengan kebanyakkan dari mereka tidak melepaskan peluang mendapatkan tiga barangan itu.

“Untuk hari ini kami menyediakan 500 ekor ayam, 300 kampit beras, 297 papan telur, 300 pek daging pejal, 150 botol minyak dan 300 pek ikan segar,” katanya ketika ditemui.

Sempena Aidiladha, PKPS menerusi Facebook memaklumkan jualan murah berkenaan berehat lima hari bermula esok dan bersambung seperti biasa pada 3 Julai.

Orang ramai membeli pelbagai keperluan bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha ketika program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Dewan Chengal MBSA, Shah Alam pada 27 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat, program tersebut akan diteruskan sehingga hujung tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

 


Pengarang :