Penduduk membeli barangan keperluan dapur pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Ramal, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 27 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Ringankan beban penduduk, Jualan Ehsan Rahmah wajar diteruskan

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

BANGI, 27 JUN: Program jualan murah barangan asas perlu diteruskan dalam tempoh lebih panjang berikutan ia terbukti memanfaatkan rakyat terutama berpendapatan rendah (B40).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal berkata Jualan Ehsan Rahmah (JER) dapat mengurangkan beban penduduk berikutan kenaikan harga barang dan inflasi.

“Demi memastikan rakyat tidak terbeban kenaikan harga barangan, program ini perlu diteruskan dengan kerjasama kerajaan persekutuan dengan suntikan dana lebih tinggi.

Penyandang kerusi DUN Sungai Ramal Mazwan Johar ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Ramal, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 27 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Saya percaya program ini boleh diteruskan dalam tempoh lebih panjang, lebih banyak barangan dan harga lebih rendah,” kata Mazwan Johar ditemui dalam program itu di sini hari ini.

Sementara itu, wakil jualan JER Mazlan Sahran berkata program yang berlangsung di Seksyen 7 hari ini dihadiri lebih 400 pengunjung dengan beras, ayam dan daging paling laris.

“Ramai yang membeli untuk membuat persediaan sempena Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan beberapa hari lagi,” katanya menambah Bangi antara kawasan paling kerap dianjurkan jualan murah.

Dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat, program tersebut akan diteruskan hingga Disember ini, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :