Mesyuarat bulanan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Bilik Siantan, Bangunan Lama MPS di Bandar Baru Selayang pada 27 Jun 2023. Foto MPS
PBTSELANGOR

9,016 waran tahanan dihantar kepada pemilik harta gagal jelas cukai

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 27 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memproses 28,244 waran tahanan untuk pemilik harta yang gagal membayar tunggakan cukai taksiran bermula 1 April hingga 31 Mei lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 9,016 waran tahanan telah dihantar kepada pemilik harta terlibat.

“Waran tahanan itu diproses bagi pemilik harta yang mempunyai tunggakan cukai RM200 ke atas.

“MPS kini dalam proses menghantar baki waran tahanan kepada pemilik harta yang masih belum menjelaskan tunggakan cukai taksiran mereka,” kata beliau ketika berucap sempena mesyuarat bulanan MPS di Bangunan Lama MPS hari ini.

Menurut Adi Faizal harta pemilik akan disita selepas tujuh hari waran diserahkan kecuali jika bayaran penuh dibuat.

Sehubungan itu kata beliau pemilik harta diingatkan supaya menjelaskan tunggakan cukai taksiran dengan kadar segera untuk mengelakkan harta alih mereka disita.

“Semakan dan bayaran boleh dibuat secara dalam talian di pautan https://mymps.mps.gov.my. Sebarang pertanyaan sila hubungi Bahagian Hasil MPS di talian 03-6126 5961,” tambahnya.

Tahun lalu, MPS menyita harta 2,651 pemilik yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran dalam tempoh tujuh hari selepas serahan waran tahanan.


Pengarang :