Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di tapak pasar malam Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 27 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri pertimbang cadangan wujudkan kedai mini jual barangan murah di setiap DUN

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 28 JUN: Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan mewujudkan kedai mini yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

EXCO pembangunan usahawan berkata sekiranya dilaksana, kedai berkenaan akan menempatkan pelbagai barangan keperluan utama seperti ayam, daging, telur dan barangan kering.

EXCO Pembangunan Usahwan Rodziah Ismail bercakap kepada Media Selangor ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di tapak pasar malam Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 27 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya dimaklumkan, mungkin kita akan wujudkan kedai mini di setiap DUN selepas ini. Di Ampang juga saya telah mohon untuk diwujudkan kedai ini,” kata Rodziah Ismail yang juga Ahli Parlimen Ampang, semalam.

Terdahulu beliau meninjau program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Bukit Antarabangsa di tapak pasar malam Ukay Perdana, di sini.

Katanya, program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tetap berjalan walaupun Dewan Negeri Selangor sudah dibubarkan.

“Kita masih ada kerajaan sementara, peruntukan yang diluluskan untuk program ini masih berbaki RM12 juta, jadi tiada masalah untuk kita teruskan,” katanya lagi.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail meninjau Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di tapak pasar malam Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 27 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat, program tersebut diteruskan sehingga hujung tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan jualan murah berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Sempena Aidiladha, PKPS menerusi Facebook memaklumkan jualan murah berkenaan berehat lima hari bermula hari ini dan bersambung seperti biasa pada 3 Julai.

 

 


Pengarang :