Trafik bergerak perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Lentang pada jam 10 pagi 28 Jun 2023 berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha. Foto Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia
AGENDANASIONAL

Trafik di lebuh raya utama ke utara, pantai timur mulai sesak

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Trafik di lebuh raya utama keluar dari Lembah Klang menghala ke utara dan pantai timur mulai sesak pagi ini berikutan orang ramai pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata setakat 9.30 pagi ini bagi laluan ke pantai timur, trafik sesak dari Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah dan dari Bukit Tinggi ke Bentong.

“Bagi laluan ke utara pula trafik sesak di Lebuhraya Utara-Selatan dari Tapah ke Gopeng, Gopeng ke Simpang Pulai, Ipoh ke Jelapang dan Terowong Menora ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap berkenaan berkata trafik juga sesak dari Padang Rengas ke R&R Bukit Gantang dan Bukit Tambun ke Plaza Tol Juru.

“Bagi laluan dari ibu kota ke selatan pula trafik masih berjalan lancar dan LLM menjangkakan trafik akan semakin sesak menjelang tengah hari dan orang ramai diminta mematuhi cadangan jadual perjalanan balik kampung yang dikeluarkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :