Pengunjung merakam gambar kenangan di mercu Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 6 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Fruit Valley raih untung RM1.2 juta, rekod 100,000 pengunjung

KUALA SELANGOR, 28 JUN: Selangor Fruit Valley (SFV) merekodkan keuntungan RM1.2 juta tahun lalu dengan kehadiran 100,000 pengunjung, maklum Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, kejayaan itu hasil promosi berterusan dan besar-besaran PKPS menerusi pelbagai platform terutama media sosial.

“Sejak 2020, pelbagai penambahbaikan kita laksanakan termasuk promosi secara agresif melalui pelbagai platform termasuk media sosal dan akhirnya melihat hasil keuntungan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berucap pada majlis serahan lembu korban kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor dan Wilayah Persekutuan di Selangor Fruits Valley, Kuala Selangor pada 28 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“SFV merupakan salah satu produk PKPS dan Selangor yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung nikmati,” katanya berucap pada majlis serahan lembu korban di sini hari ini.

Agihan untuk masyarakat Orang Asli membabitkan 13 kampung dibuat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, yang disempurnakan EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian.

Terletak di Bestari Jaya, SFV yang berkeluasan hampir 1,000 hektar mempunyai kira-kira 20 jenis tanaman buah-buahan termasuk belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan, kelapa dan nanas.

Pusat agropelancongan Selangor itu turut menyediakan aktiviti sukan lasak seperti luncur keluang (flying fox), perkhemahan dan kenderaan serba rupa bumi (ATV).

 


Pengarang :